Tuesday 28 March 2017

Definisi Pendidikan Awal Kanak Kanak

DEFINISI PENDIDIKAN


Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (1993), mendefinisikan pendidikan ialah perihal mendidik. Selain itu, pendidikan juga ialah ilmu yang merujuk kepada ilmu didik, ilmu mendidik, didikan, latihan dan ajaran. Perkataan pendidikan berakar umbi daripada perkataan ‘didik’ yang membawa maksud ajar, bimbing, bentuk, dan asuh. Menurut perkataan Inggeris pula, pendidikan adalah  “Education” iaitu perkataan yang berasal daripada Latin “Educare” yang bermaksud mengasuh, memelihara dan juga membimbing. Oleh itu, melalui definisi tersebut dapatlah kita memahami pendidikan merupakan proses pertumbuhan ke arah yang lebih baik bagi mencapai kesempurnaan akal, mental dan juga perkembangan jasmani.Menurut Mok Soon Sang (1991), di dalam bukunya “Pendidikan di Malaysia” merumuskan bahawa pendidikan ialah suatu proses atau aktiviti yang berusaha untuk memperkembangkan fizikal, intelek, sosial, dan emosi seseorang individu serta menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan, dan pengalaman supaya dapat memberi kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam kehidupannya, membantu dan mendorongnya bertindak dengan cara yang lebih sihat bagi faedah diri sendiri serta masyarakat, bangsa dan negara.            

 

 Menurut Atan Long (1976-1978), di dalam bukunya yang bertajuk “Psikologi Pendidikan” memuatkan di dalamnya beberapa pandangan mengenai pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana dan ilmuan Islam. Antaranya ialah Syed Muhammad Qutb menyatakan bahawa pendidikan adalah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang. Menurut Najeemah Md. Yusuf (2006), pendidikan ialah aktiviti perkembangan dan penyuburan pemikiran serta kuasa-kuasa semula jadi melalui pembelajaran yang sudah dirancang, meliputi pendidikan formal dan pendidikan bukan formal.


            Menurut Swift D.F di dalam bukunya “Sociology of Education” yang dipetik dalam laman web, menghuraikan pendapat yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana dan ilmuan dari Barat berkenaan dengan pendidikan. Antaranya ialah Plato berpendapat pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah memberi latihan moral kewarganegaraan yang baik. Menurut  Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal. Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup.


 John Dewey pula mengatakan bahawa pendidikan adalah satu proses perkembangan individu. Mengikut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi. Menurut Tokoh Islam pula, Amar al-Shaibani berpendapat bahawa pendidikan adalah digunakan untuk melatih manusia membuat persiapan bagi kehidupan dunia dan akhirat. Menurut al-Ghazali pula, proses pendidikan hendaklah merangkumi aspek intelek latihan jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani dan hormat-menghormati. Firman Allah di dalam Surah Al-Alaq ayat 1 yang bermaksud ; “Bacalah!!! Dengan Nama Tuhanmu yang menjadikan”, jelas menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kepada setiap umat manusia dengan tidak mengira jantina, agama, budaya, umur, keturunan, dan sebagainya. Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap laki dan perempuan”, jelas memberitahu kepada kita bahawa setiap orang tidak kira lelaki dan perempuan dikehendaki menuntut ilmu atau erti kata lainnya mempunyai pendidikan.


DEFINISI AWAL KANAK-KANAK


1      Menurut National Association for the Education of Young Children (NAEYC) :
-          Pendidikan awal kanak-kanak diberi seawal usia lahir hingga berumur 8 tahun


1.      Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Keempat menyatakan :
-          Pendidikan awal kanak-kanak diberi kepada kanak-kanak yang dibawah umur 18 tahun


2.      Menurut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) :
-          Program pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun dinamakan Tadika.


3.      Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308)
-          Program pendidikan yang diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur 4 tahun  


KEPENTINGAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK


Pendidikan awal kanak-kanak mempunyai banyak kepentingan. Antaranya ialah :
  • Pendidikan awal kanak-kanak menyediakan generasi yang mempunyai daya ketahanan untuk menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, menumpukan perhatian dan membina daya keintelektualan.
  • Peringkat kanak-kanak merupakan peringkat yang utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seseorang.
  • 90 peratus daripada perkembangan otak secara optimum berlaku sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun kerana sejak kelahiran hingga berumur dua tahun, kanak-kanak itu mengalami perkembangan kognitif yang pesat.
  • Pada peringkat ini, kanak-kanak dapat mengembangkan pengetahuan asasnya yang berkaitan dengan empat ciri iaitu pengetahuan tentang objek, sebab-sebab sesuatu, ruang, dan masa yang kemudiannya menjadi asas untuk perkembangan hidup.


KELEMAHAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA


Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia sebelum kemerdekaan merupakan pendidikan tidak formal dan lebih kepada pendidikan agama dan bukan formal. Pendidikan Awal Kanak-kanak formal di Malaysia mula berkembang pada Tahun 1950-an iaitu selepas Perang Dunia Ke-dua.


Namun, Pendidikan Awal Kanak-kanak ketika itu tidak begitu berkembang kerana lebih merangkumi anak-anak golongan bangsawan manakala kanak-kanak dari keluarga  yang tidak berkemampuan contohnya anak-anak pekerja hanya dijaga bukan dididik.Pendidikan Awal kanak-kanak  di Malaysia dahulu dan kini sedikit sebanyak telah berubah namun impaknya kurang kerana:
  • Ibu bapa tidak sedar kepentingan pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak.
  • Kurangnya kesedaran di kalangan ibu bapa bahawasanya mereka merupakan guru pertama kanak-kanak.
  • Ibu bapa kurang kesedaran bahawa bukan hanya guru yang dapat mendidik kanak-kanak.
  • Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak tidak menekankan pendidikan dan hanya menjaga secara sambil lewa.
  • Kebanyakan penjaga diambil tanpa pengalaman serta pendidikan mengenai pendidikan awal kanak-kanak yang secukupnya.
  • Pengusaha taska atau tadika swasta kebanyakan mengambil pengasuh yang tiada pengalaman kerana lebih murah gaji.
  • Kurikulum yang disediakan tidak diikuti sepenuhnya kerana malas untuk mengajar kanak-kanak.

 

Pendidikan Awal Kanak-Kanak Template by Ipietoon Cute Blog Design